Sunday, February 27, 2011

Kenapa harus berbeza?



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pagi Isnin, 28 Februari 2011 bersamaan 25 Rabi'ul Awwal 1432 H yang redup. Suasana nyaman dan tenang di sekitar kampus. Burung-burung berkicau riang menghargai keindahan alam yang tersergam. Kehijauan bumi Allah adalah satu rahmat yang tidak ternilai oleh kami semua. Walaupun terpinggir dari arus kemodenan dan pembangunan dan hidup dalam serba kekurangan namun warga kampus ini amat berbangga berada di sini.

Pada tarikh ini, semua warga kampus telah dijadualkan untuk menghadiri satu taklimat berkaitan pentaksiran sekolah. Mereka didedahkan dengan pelbagai teknik penaksiran dan kenapa perlu untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR. Logik dan kajian yang telah dijalankan, menunjukkan bahawa pemansuhan ini amat perlu memandangkan perbezaan dan ketidakseimbangan sistem pembelajaran antara kawasan dan juga beberapa kepincangan yang timbul dari sistem pendidikan sekarang.

Fokus saya di sini bukan untuk membincangkan sistem penaksiran ataupun pemansuhan UPSR dan PMR tetapi lebih kepada dilema pelajar KPLI.

Apa masalah "mereka" dengan pelajar KPLI? Apa salah pelajar-pelajar KPLI sehingga mereka selalu disalahertikan? Apa yang membuatkan mereka buruk dimata "mereka"? Bukan setakat pelajar-pelajar jurusan ijazah malah segelintir staf HEP dan pensyarah yang turut menyalahkan mereka atas sebab yang mereka sendiri tidak ketahui.

Pernah menyandang jawatan tinggi di dalam syarikat swasta bukanlah sesuatu yang mereka banggakan. Mereka sanggup lepaskan jawatan yang bergaji 5 angka semata-mata mengejar niat murni untuk menjadi pendidik. Kenapa harus disalahertikan?

Baru sebentar tadi kewibawaan mereka di perkotak-katikkan. Layanan yang diberikan seolah-olah mereka adalah kanak-kanak kecil yang harus diasuh dan dididik dengan ketegasan. Kata-kata yang dihamburkan amat menyakitkan hati dan telah menjatuhkan maruah mereka sebagai seorang manusia, menghilangkan terus semangat untuk memperjuangkan nasib anak bangsa. Kenapa harus dibandingkan antara KPLI dan PISMP? Mana kurangnya KPLI sehingga PISMP dijulang ke langit?

Memang menjadi masalah sekiranya dokumen penting untuk pembelajaran tiada bersama pelajar. Namun prihatinkah "mereka" masalah yang pelajar ini hadapi? Sudikah "mereka" mendengar sebab dan alasan mengapa mereka tidak memilikinya?

Mereka diasuh, dididik dan selalu diingatkan supaya mempunyai sifat lembut dan prihatin terhadap murid-murid di sekolah. Mereka disuapkan dengan sikap dan sifat simpati dan empati agar menjadi guru yang bertanggungjawab dan disenangi oleh semua. Namun, bagaimanakah sikap yang telah ditunjukkan oleh "mereka" supaya dicontohi oleh mereka? Renungkan wahai "mereka" yang merasakan diri hebat!!

Mereka adalah pelajar yang telah melepasi zaman kolej dan merupakan pelajar yang berkerjaya. Layanan sebagai dewasa yang telah matang merupakan cara terbaik untuk pelajar kategori ini. Sebagai manusia, pelajar ini memiliki naluri untuk dihargai, bukan sekadar menjadi bahan kekangan dalam melunaskan tanggungjawab. Sekiranya tidak sanggup untuk melayan kerenah pelajar terlebih umur seperti mereka, tolak sahaja jawatan sebagai pensyarah yang bertanggungjawab.

Kepada pejara KPLI, selamat maju jaya. Abaikan "mereka" dan hati "mereka" dan tumpukan kearah mencapai kecemerlangan bersama. Kamu sememangnya hebat sehingga dicemburui seantero alam.

0 comments:

 
Blogger Templates by Wishafriend.com